Bacalah....Jika Anda Menghadapi Masalah

Masalah... satu perkataan yang cukup mudah untuk diungkapkan tetapi cukup berat untuk dipikul. Masalah...satu perkataan yang cuba dihindari oleh setiap daripada kita tetapi ironinya kita menyebut berkali-kali dalam sehari. Acap kali masalah menjadi tiang fikiran yang menongkat hidup.

Ini kerana ramai yang memikirkannya kemana sahaja mereka pergi dan ke mana sahaja wajah mereka dihalakan. Mereka memikirkan masalah lebih daripada memikirkan yang lain. Ramai yang berpendapat bahawa perlu memikirkan masalah kerana apabila masalah selesai maka bahagialah hidup ini. Namun setelah satu-satu masalah selesai mereka tetap sahaja memikirkan masalah yang baru timbul. Ini bererti urusan masalah seperti tiada kesudahannya dalam hidup.

Justeru itulah topik masalah ini adalah salah satu topik dalam latihan Soul Power yang saya (penulis) adakan sejak bertahun-tahun.Topik ini penting kerana masalahlah yang sering merantai manusia tanpa mereka sedari. Justeru itu dalam latihan tersebut saya (penulis) mahu berkongsi kaedah untuk membebaskan diri dari rantai masalah seperti mana yang telah diajar kepada saya (penulis) oleh seseorang yang telah melalui pelbagai masalah dan kemudiannya berjaya memutuskan belenggu rantai masalah.

Kita boleh bercerita, kita menasihati dan memberi saranan. Tetapi jika kita sendiri tidak melalui masalah-masalah yang berat mana mungkin cerita, nasihat dan saranan itu benar-benar dapat menbantu seseorang. Kerana kita sendiri tidak pernah tahu apa yang berlaku. Makanya segala cerita, nasihat dan saranan itu merupakan teori dan logik akal yang melihat masalah itu dari luar dan bukan bersandarkan apa yang mereka alami.

Justeru, sewaktu saya bermasalah saya mencari guru yang pernah melalui masalah yang sama atau hampir sama untuk saya bertanyakan cara beliau membebaskan diri dari belenggu. Saya (penulis) melalui pelbagai masalah. Saya (penulis) pernah difitnah, bahkan dalam bidang yang saya lalui sekarang, ada juga onak dan ranjau yang perlu di lalui kerana ada juga manusia yang mahu melakukan sesuatu tetapi harus memijak bahu orang lain.

Bersyukur saya kepada Allah SWT kerana telah mempertemukan saya dengan seorang guru 19 tahun lepas yang mengajar dan berkongsi taktiknya dalam berhadapan dengan masalah. Asas yang paling utama dalam berhadapan dengan masalah adalah ketenangan. Dalam proses mencapainya, kita perlu tahu bahawa masalah itu adalah pintu awal untuk sesuatu yang lebih baik.

Inilah fasa yang paling sukar kerana ramai yang menidakkan bahawa masalah itu adalah juga sumber kebaikan. Tanpa adanya masalah kebaikan yang sebenar tidak dapat kita lihat, jauh sekali dari mengecapnya. Kebaikan yang selalu kita fikirkan mungkin tidak sama dengan kebaikan sebenar yang dikurniakan Allah SWT.

Putuskan rantaian masalah

Tetapi kebaikan sebenar itu ibarat isi sebiji buah. Isinya cukup sedap tetapi belum dikecapi isinya kita perlu terlebih dahulu berusaha membunag kulitnya. Kulit itu merupakan perlambangan masalah. Ada satu kisah sufi di mana dia sedang mencangkul tanah. Tiba-tiba datang seorang lelaki menjerit memarahinya dan bertanya, " Mengapa kamu merosakkan tanah itu?". Lalu si sufi menjawab, "Jangan menganggu ku kerana kamu orang yang tidak mengerti perbezaan antara hancur dan tumbuh. Tanah ini tidak akan menjadi kebun bunga atau ladang gandum tanpa kamu pecah-pecahkan untuk menggemburkannya. Justeru, bukankah benar yang tanah ini tidak akan menberi lebih banyak manfaat sebelum kamu menghancurkannya?"

Kata sufi itu lagi, "Jika kamu ingin menyembuhkan penyakit bisul, maka seseorang perlu memecahkan bisul tersebut. Kija tidak penyakit itu sukar sembuh. Lagi seorang tabib perlu mencari ubat yang pahit sebelum pesakitnya kembali pulih." Lalu sufi ini menyambung, "Ketika seorang tukang jahit mengguntung sehelai kain, pernahkah ada orang yang datang kepada tukang jahit lalu bertanya mengapa dia merosakkan kain yang cantik ini. Ketahuilah oleh kamu bahawa pemecahan atau kerosakan itu adalah awal dari pembaharuan. Penderitaan itu ada awal dari kefahaman."

Kesimpulan: Meskipun kelihatan mudah atas kertas tetapi apabila seseorang yang sedang berhadapan dengan masalah tidak dapat melaksanakannya. Hanya orang yang sudah melalui pelbagai masalah tahu erti mengalami masalah.Hanya orang yang sudah terlepas dari rantai masalah dapat berkongsi cara mudah dan pantas untuk keluar dari masalah.

Ketahuilah...
Orang yang sedang berdepan dengan masalah, mereka tidak mahu teori berjela-jela untuk menyelesaikan masalah. mereka mahu masalah mereka selesai..

Ketahuilah...
Sewaktu seseorang itu berhadapan dengan masalah, mereka tidak perlukan nasihat melainkan jalan keluar..

Bagi mereka yang sedang bertempur dengan masalah, berhentikah bertempur. Carilah mereka yang sudah pernah bertempur dan guna pakai serta tambah baik taktik dan strategi untuk memutuskan rantai masalah.

(Petikan dari Majalah Mingguan Wanita Ogos 2014 muka surat 108 - Segmen Munajat oleh Dr. Azhar Haji Sarip - Konsultan Emosi Dan Spiritual NPL Traning - www/spiritual-npl.com.my )