Faedah Sabar Menurut al-Quran

Puasa berkait rapat dengan sifat terpuji- SABAR. Lantaran itu Allah menjanjikan pahala dengan ganjaran yang tidak ternilai tingginya.

Allah berfirman dalam sebuah hadis Qudsi yang bermaksud

"Puasa adalah untuk Ku dan AKU lah yang akan membalasnya."
Di Dalam Al-Quran, perkataan sabar disebut lebih daripada 90 kali. Pelbagai hikmat dan faedah diberikan kepada orang yang sabar. Antaranya ialah:

Sabar Membawa Kejayaan
"Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan kebaikan) dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih dari kesabaran musuh di medan perjuangan) dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah- daerah sempadan) serta bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan)" - Surah Ali Imran Ayat 200

Sabar Dapat Mengangkat Seseorang Menjadi Pemimpin Yang Berjaya

 "Dan kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin yang membimbing kaum masing- masing kepada hukum agama Kami, selama mereka bersifat sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat- ayat keterangan Kami" - Surah As Sajadah Ayat 24

 Allah Sentiasa Bersama Dan Menolong Orang Yang Sabar
"Wahai orang yang beriman, mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan mengerjakan sembahyang. Kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang- orang yang sabar." - Surah Al Baqarah Ayat 153

Mendapat Pelbagai Kebaikan, Rahmat dan Petunjuk
"Mereka ialah orang- orang yang dilimpahi dengan berbagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmat Nya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk hidayah Nya.: Surah Al Baqarah Ayat 157.
-----

Petikan dari Tuan Haji Asad Awang (www.penghayatanislam.blogspot) - Pensyarah Kanan IPG Kampus Ipoh, Pengerusi Masjid Umar Ibni Khatab, AJK Fatwa Negeri Perak