Berkawan biar seribu, bercinta biarlah satu. Ada wanita
lebih selesa berkawan dengan wanita. Ada juga lelaki selesa memilih lelaki
sebagai teman baik mereka. Bagi wanita yang berteman baik lelaki, pasti ia
sukar untuk memastikan hubungan itu terus berkekalan.
Sama ada ia akan membibitkan perasaan cinta atau terputus di
pertengahan jalan akibat salah faham teman-teman lain yang kurang memahami
istilah berkawan yang anda sedang jalinkan. Sememangnya tidak mudah mengekalkan hubungan persahabatan
baik antara lelaki dan perempuan. Namun, bagi anda yang sedang berkawan baik
dengan lelaki mahupun wanita, di dini diberikan beberapa panduan yang boleh
dipraktikkan agar hubungan kekal sehingga anda berkahwin dan beranak cucu.
1) Niat Berkawan
Letakkan matlamat berkawan dengan teman
anda itu semata-mata kerana anda benar-benar mahu menjadikan dirinya kawan. Pastinya
dia seseorang yang memahami kehendak dan naluri anda. Jika anda seorang yang ‘gila-gila’,
dia juga sanggup melayan perangai ‘gila-gila’ anda itu.
Jangan pula anda memesongkan daripada niat
asal ketika seronok berteman anda pula menyimpan perasaan kasih sayang padanya.
Tidak salah menyayangi teman baik sendiri tetapi cukup sekadar sayang seorang
sahabat. Bimbang kelak, anda terjatuh hati dan hubungan itu akan menjadi lebih
sukar. Jika si dia boleh menerima anda, berbahagialah anda. Jika sebaliknya,
bukankah nanti anda yang akan lebih merana?
2)
Jaga Batas
Perasaan ini sememangnya amat sukar
dikawal. Ada ketikanya ia boleh menjadi cukup bergelora dan tidak tentu hala
apabila anda terlalu suka pada seseorang. Sebab itulah, selalu ingatkan diri
sendiri bahawa teman anda itu adalah kawan terbaik yang pernah anda miliki. Anda
perlu bijak meletakkan batasan hati dan perasaan sepanjang berkawan dengan
teman anda itu.
Berceritalah soal peribadi sekalipun namun
jangan memasukkan perasaan di dalamnya. Sekadar meluahkan pada teman apa yang
anda rasai ketika itu. Misalnya anda tidak bertegur sapa dengan adik beradik. Mintalah
pandangan teman baik anda. Pasti dia akan bercerita dengan jujur. Tapi jangan
pula kerana hal itu, anda melayan emosi
keterlaluan sehingga membiarkan diri dibuai rasa cinta pada teman baik
sendiri.
3)
Maklumkan Pada Yang Lain
Jika teman baik anda sepejabat atau sama
sekolah, jangan segan dan silu memaklumkan kepada teman-teman lain bahawa anda
dan dia adalah kawan baik. Ini untuk mengelakkan salah faham di kalangan
teman-teman. Bimbang mereka menuduh anda yang bukan-bukan.
Bukankah itu semua nanti akan memberi imej
buruk kepada diri sendiri. Cara menerangkan juga perlu bijak dan penuh dengan
toleransi. Bukannya memaklumkan dengan penuh bangga kerana ia akan mengundang
perasaan kurang senag di hati teman.
4)
Perkenalkan Pada Ibu Bapa
Berceritalah dengan orang tua anda tentang
teman baik anda ini. Mana tahu orang tua pula berkenan dan dijadikannya anak
angkat. Nah! Bukankah itu lebih membahagiakan. Terangkan pada orang tua bahawa
anda kini sedang berkawan dengan lelaki atau wanita yang begitu memahami diri
anda.
Pastinya ibu bapa akan lebih bersikap terbuka
andai anda dapat menerangkan dengan jelas dan sentiasa meyakinkan mereka bahawa
anda hanya berkawan dan tidak akan melampaui batas. Prinsip berkawan adalah
sering menggalakkan temannya untuk berjaya dalam hidup mereka. Andai teman anda
itu memiliki ciri sedemikian, maka dia adalah teman terbaik yang telah anda
miliki.
5)
Hadkan Pertemuan
Teman baik tidak semestinya ada perlu
bersama bak belangkas. Oh! Jika begini pasti rimas dibuatnya. Teman baik itu
walaupun berjauhan dia sentiasa mengingati dan memberi nasihat-nasihat yang
berguna menerusi laman sembang mahupun panggilan telefon.
Oleh sebab itulah, anda perlu ada batasan
waktu untuk setiap pertemuan. Jangan pula anda keluar sehingga jauh malam
bersama teman baik anda itu. Cukuplah sama ada pertemuan di sekolah atau di
tempat yang sesuai. Waktu selebihnya adalah untuk anda habiskan bersama
keluarga dan begitulah juga halnya dengan teman baik anda itu.
Andai anda sudah berumahtangga, tidak salah
untuk memperkenalkan teman baik anda itu kepada suami. Terangkan dengan jelas
dan sebaik-baik nya, pasti suami anda akan lebih memahami jika anda sentiasa
memegang prinsip berkawan sepertimana yang dinyatakan di atas.
----------
Petikan artikel diambil
daripada Segmen: Soal Hati Majalah Mingguan
Wanita keluaran Ogos 2014. Muka Surat 51 – kelolaan Netty Hiyer.