Hukum membeli tasbih yang terukir nama Allah dan Nabi.


Soalan:
Apakah hukumnya membeli tasbih yang diukir nama Allah dan Nabi pada biji tasbih, dijampi dan didoakan oleh tuan guru supaya dimurahkan rezeki.

Jawapan:
Mengukir nama Allah dan Nabi pada tasbih, hal ini perlu perhatian kerana ditakuti tasbih-tasbih yang sebegitu akan tersilap atau terbawa ke dalam bilik air. Adalah sesuatu yang tidak baik apabila membawa sesuatu yang tertulis nama Allah kemudian di bawa ke bilik air, ia seolah-olah kita tidak menghormati Allah SWT.

Satu lagi yang perlu diperhatikan adalah supaya menjaga tasbih itu sebaik-baiknya kerana tertera nama Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Ditakuti ia akan diletakkan di tempat-tempat yang tidak sesuai dan diambil untuk bermain-main oleh kawak-kanak. Ini akan mencemarkan nama Allah dan Nabi kita yang mulia. Saya nasihatkan supaya berhati-hati menggunakan tasbih yang tertera ayat Al-Quran atau Nama Allah dan Nabi SAW.

Persoalan kedua ialah tasbih yang dijampi untuk kemurahan rezeki. Jika kita berdoa supaya dimurahkan rezeki ini adalah tidak menjadi kesalahan kerana doa adalah amalan yang baik dan kita digalakkan supaya berdoa.

Tetapi jika berdoa supaya tasbih atau alat-alat lain atau apa saja dapat memberikan kemurahan rezeki, ia adalah konsep yang salah, sepatutnya doa adalah terus kepada Allah dan bukan berdoa supaya benda-benda dan barang-barang seperti tasbih dan sebagainya dapat memberikan manfaat. Ini ada kesalahan sebab yakin bahawa benda-benda tersebut boleh memberi manfaat seperti kemurahan rezeki dan sebagainya.

(Petikan dari Majalah Mingguan Wanita Ogos 2014 muka surat 110 - Segmen Kemusykilan Hati oleh Ustaz Azhar Tuarno- Imam Masjid Negara, Merangkap Penolong Pengarah Perhubungan Awam & Pusat Sumber)