TMJ Dan Cik Khaleeda Bustamam Bernikah 24 October 2014

Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Cik Khaleeda Bustamam

Tuanku Mahkota Johor (TMJ) Tuanku Ismail Sultan Ibrahim, 30, bakal menamatkan zaman bujangnya Jumaat ini, 24 October 2014 apabila melangsungkan pernikahan dengan Cik Khaleeda Bustamam, 21.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli berkata istiadat pertunangan dan pernikahan baginda dengan wanita pilihan hatinya itu akan berlangsung di Istana Bukit Serena pukul 10 pagi hari itu.
"Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar akan menghadiahkan tujuh barangan kepada pihak perempuan, manakala pihak keluarga perempuan pula akan membalasnya dengan sembilan barangan." katanya pada sidang media di Bukit Timbalan, di sini.
Istiadat pernikahan dikendalikan Mufti Johor Datuk Tahrir Samsuddin.

Hanya kerabat dan keluarga terdekat kedua-dua pasangan dijemput menghadiri istiadat pertunangan dan pernikahan itu.

Cik Khaleeda akan dikurniakan gelaran Che Puan, isteri kepada Tunku Mahkota Johor selepas istiadat pernikahan itu, menurut Abdul Rahim.

Katanya, istiadat merisik telah pun berlangsung pada 27 September 2014 lepas dengan rombongan diraja diketuai Tunku Temenggung Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor itu juga mengumumkan istiadat persandingan Tunku Mahkota Johor dengan Cik Khaleeda akan diadakan di Istana Besar, Johor Bahru pada 7.30 malam 8. November 2014.

istiadat persandingan itu bakal berlangsung secara sederhana tetapi penuh dengan adat istiadat diraja Johor dan ketenteraan, dijangka dihadiri oleh kira-kira 1,200 jemputan dari dalam dan luar negara.

Antara tetamu kehormat yang akan menghadiri istiadat itu termasuk Sultan Brunei, Sultan Pahang, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, Perdana Menteri Singapura serta barisan Exco dan anggota Dewan Undangan Negeri Johor.

Menurut Abdul Rahim tiada liputan media bagi istiadat berkenaan.

Biodata Ringkas TMJ


Tuanku Mahkota Johor diputerakan pada 30 June 1984 di Johor Bahru dan merupakan putera sulung daripada enam adik- beradik kepada Sultan Johor dan Raja Zarith Sofia.

Baginda mendapat pendidikan awal persekolahan di Johor Bahru sebelum melanjutkan pendidikannya di Australian International School, Singapura pada 1999 dan Hale School di Perth, Australia.

Bermula 17 Julai 2003 hingga 11 Disember 2004, Tunku Ismail menjalani latihan ketenteraan di India Military College di Dehradun, India dan ditauliahkan pangkat Leftanan.

Baginda menerpa sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama mengetuai Rejimen Berkuda Tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India ketika itu, A.P.J. Abdul Kalam sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Januari 2007.

Biodata Ringkas Cik Khaleeda Bustamam


 Cik Khaleeda dilahirkan pada 16 Julai 1993 di Kuala Lumpur dan merupakan anak bungsu daripada lima adik beradik kepada pasangan Bustamam Daud dan Aziyah Abdul Aziz.




Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah kebangsaan Taman Seri Gombak bermula 2000 hingga 2003, sebelum meneruskan pendidikan awalnya di Sekolah St. George's Hanover Square,  London pada 2003 hingga 2004.



Cik Khaleeda melanjutkan persekolahan menengahnya di Westminster Academy London pada September 2004 hingga Julai 2008 dan se Sekolah Sri Utama, Kuala Lumpur sekembalinya ke Malaysia pada 2010.- BERNAMA.